Selasa, 9 September 2014

UMNO GOYAH JUMPA PAS DI PENGKALAN KUBOR

Apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan calon Pas yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor, maka laluan UMNO untuk mempertahan kerusi tersebut kini bukan lagi mudah walaupun telah tiga penggal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut.
 
Walaupun PKR berada dalam kekalutan ekoran isu dalaman yang belum berakhir, Pas mempunyai kekuatan tersendiri di negeri Kelantan yang telah sekian lama melenyapkan impian UMNO dan BN untuk berkuasa.
 
Memang benarlah Allahyarham Noor Zahidi Omar berjaya menawan hati rakyat di Pengkalan Kubor hingga berjaya mengekalkan kerusi tersebut selama tiga penggal namun Pas belum pernah meletakkan calonnya di kawasan yang telah menjadi milik PKR itu.
 
Melihatkan majoriti undi sebanyak 1,736 yang diperoleh UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-13, bukanlah satu jumlah yang boleh dibanggakan atau malah jauh sekali untuk meletakkan UMNO berada di zon selesa.
 
Cuma satu kerusi yang dimenangi UMNO daripada empat kerusi di Parlimen Tumpat yang semuanya dikuasai oleh Pas dan kerusi yang dimenangi UMNO itu pencabarnya adalah calon PKR, bukan Pas.
 
Walaupun masih dalam Pakatan Rakyat (PR), penerimaan rakyat Kelantan terhadap PKR mungkin tidak sama dengan parti yang dinaungi oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Sokong tetap sokong atas dasar gabungan dalam PR namun hati dan naluri rakyat Kelantan tidak siapa tahu namun kemenangan semua calon Pas yang bertanding di Parlimen Tumpat telah menjelaskan segala-galanya bahawa calon Pas tetap tidak akan sama dengan calon PKR.
 
Bukanlah hendak memperlekehkan hubungan baik parti gabungan PR tetapi itulah hakikat yang perlu diterima oleh parti pimpinan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
 
Mungkin di negeri lain PKR boleh meyakinkan rakyat dan pengundi tetapi bukan di Kelantan yang terkenal dengan slogan kepimpinan bersama ulamak.
 
Berbalik kepada BN yang akan menamakan calon dari UMNO pada PRK Pengkalan Kubor, untuk seketika ini, saingan yang bakal dihadapi pada 25 September nanti bukanlah calang-calang anak.
 
Bukan bermakna BN tidak boleh menang dan mempertahankan kerusi yang telah dipegang selama tiga penggal itu tetapi kempen yang dijalankan jentera BN selepas hari penamaan calon nanti tidak boleh dipandang remeh.
 
Masalah dalam PKR tidak boleh lagi dijadikan isu atau tajuk kempen untuk menawan hati pengundi tetapi fikirkanlah cara lain yang lebih intelek dan berhemah kerana negeri Kelantan sendiri adalah kubu Pas dan Pengkalan Kubor juga dikelilingi oleh penyokong-penyokong Pas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan