KONGRES PKR Pemilihan pucuk pimpinan PKR yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat akan ditangguhkan sehingga bulan November.

Usul khas penangguhan itu dibentangkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail di kongres nasional PKR di Petaling Jaya hari ini.

Usul itu telah dipersetujui oleh majoriti perwakilan dalam Kongres tersebut.

Ketika membentang usul tersebut, Saifuddin berkata, penangguhan itu bertujuan memberi laluan kepada PKR untuk memperkemaskan strukturnya.

Mengikut perlembagaan PKR, pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) boleh ditangguhkan bagi satu tempoh tidak lewat dari enam bulan bermula dari tarikh sepatutnya.

Menurut Saifuddin, jawatankuasa Cabang PKR hanya sah sehingga 17 September 2013 manakala bagi MPP pula ialah pada 28 November 2013.

Usul khas itu mencadangkan tempoh khidmat Cabang dan MPP dilanjutkan dan tidak melebihi enam bulan seperti yang dibenarkan perlembagaan parti, atas sebab-sebab berikut:

- Tarikh pilihan raya umum ke-13 dipanjangkan sehingga proses pemilihan parti terganggu;

- Maklum balas akar umni perlu diperolehi bagi memperkemaskan proses pemilihan;

- Tempoh khidmat pengerusi tetap dan timbalannya dilanjutkan sehingga pemilihan baru dibuat, dan

- Mesyuarat agung tahunan cabang bagi 2013 diadakan serentak bagi tahun 2014.