Isnin, 28 September 2009

Calon BN diumum petang ini, calon PAS pada sebelah malam..

Teka-teki siapa calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang bakal terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkannya, petang ini. Muhyiddin dijangka mengumumkan nama calon yang dipilih BN itu ketika majlis jamuan Aidilfitri di Batu 6, Jalan Pantai, Port Dickson, jam 4 petang ini. Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dijangka mengumumkan calon parti itu di Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Bagan Pinang, di Teluk Kemang, jam 9 malam.


Esok - Pengumuman Calon Bagan Pinang

MAJLIS PENGUMUMAN CALON PAKATAN RAKYAT BAGI PILIHAN RAYA N31 BAGAN PINANG Presiden PAS, YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang bersama barisan pimpinan Pakatan Rakyat akan mengumumkan calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang pada:

Tarikh: 29 September 2009 (Selasa) Masa: 9.00 malam Tempat: Markas PAS, Batu 9, Jalan Pantai, Telok Kemang, Port Dickson.

Rabu, 16 September 2009

Sabtu, 5 September 2009

Cadangan Pemindahan Kuil Hindu Di Seksyan 19 Di Bekukan

SHAH ALAM, 5, Ogos- Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan bahawa cadangan memindahkan Kuil Hindu di Seksyen 19, ke Seksyen 23 dibekukan sementara, ekoran bantahan keras daripada penduduk. Khalid berkata, kontroversi yang tercetus daripada rancangan pemindahan kuil tersebut akan ditangguhkan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.
“Kerajaan negeri sangat prihatin tentang perkara ini, kita merasakan kita terpaksa melihat semula cadangan tersebut, saya telah meminta masyarakat di seksyen 23 supaya mereka tidak lagi membincangkan perkara ini kerajaan negeri akan melihat bagaimana usaha2 ini dapat diteruskan,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media di kediaman rasminya selepas Majlis Dialog bersama penduduk Seksyen 23 berhubung isu pemindahan kuil tersebut di Dewan Bankuet MBSA, pagi tadi.
Katanya, Kerajaan Negeri prihatin terhadap keinginan masyarakat India yang inginkan kuil itu dibina dan akan berusaha untuk mencari tapak alternatif yang sesuai.
“Kita akan berbincang dengan PKNS supaya dapat mengenalpasti satu lagi tempat yang sesuai yang boleh diterima oleh Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan boleh diterima oleh penduduk di persekitaran Seksyen tersebut,“ini akan kita lakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan kalau tidak ini boleh menjadi perkara-perkara yang menjadi isu antara penduduk,” katanya.
Beliau berkata, hasrat memindahkan kuil berkenaan akan diteruskan, tetapi ditangguhkan buat masa ini sambil berharap penduduk tidak menimbulkan ketegangan lagi.
Katanya, ekoran bantahan penduduk dalam sesi dialog pagi tadi, kerajaan negeri terpaksa menilai semula cadangan memindahkan kuil Sri Mariaman itu ke Sekyen 23.
“Kita faham, perkara yang melibatkan agama merupakan isu sensitif. Tetapi kita tidak akan menyapunya ke bawah permaidani (mengelak daripada menyelesaikannya),” katanya.
Sambil menegaskan beliau tidak kecewa dengan insiden ini, Tan Sri Khalid berkata, bantahan itu telah dijangka, berdasarkan tunjuk perasaan yang dibuat oleh penduduk setempat sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan insiden yang berlaku pagi tadi berpunca daripada salah faham ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat, sedangkan perkara itu masih di peringkat cadangan.
“Saya tengok daripada perbincangan yang telah diadakan tadi ada miss information, telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu, mereka yang datang sudah menganggap pembinaan telah dilakukan, ini memberi gambaran bahawa kita buat tanpa berbincang dengan penduduk, sekiranya mereka mendapat maklumat yang tepat ia tidak akan berlaku,” jelasnya.
Beliau turut menyeru media agar menyampaikan maklumat dengan tepat dan tidak mencetuskan perbalahan dan salah faham penduduk.
Bagaimanapun, Khalid meminta perkara itu tidak dipanjangkan kerana ia telah diselesaikan dengan mencari tapak lain sebagai alternatif.

Khamis, 3 September 2009

Pakatan Rakyat Tetap Kukuh Di Selangor

SHAH ALAM, 3 September - Wakil-wakil rakyat negeri Selangor Pakatan Rakyat tetap berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Ini membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tetap kukuh dan usaha Barisan Nasional untuk menggoncang kerajaan negeri Selangor tidak akan berhasil.
Perkara ini dinyatakan oleh wakil rakyat dari Pakatan Rakyat iaitu ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafie, dan Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam dalam satu temubual ekslusif bersama TVSelangor di pejabat TVSelangor, hari ini.
Menurut Suhaimi, mereka akan berpegang teguh dengan akauntabiliti Tan Sri Khalid sebagai pemimpin yang berdedikasi dan mempunyai reputasi yang tinggi dalam pemerintahan.
“Saya berpegang teguh daripada segi profesionalisme, keputusan membuat sesuatu, ketelusan melaksanakan sesuatu, kita katakan akauntabiliti Tan Sri Khalid yang memang seorang yang mempunyai reputasi yang tinggi, dari segi pengurusan kerajaan negeri, saya nampak bagus, kalaupun ada, sedikit,” katanya.
Katanya, kerajaan BN hanya memainkan propaganda untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dan apa yang pasti, mereka tetap dengan pendirian dan pegangan tinggi terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, S.Manikavasagam berkata, tidak akan timbul isu lompat parti dalam Pakatan Rakyat di Selangor.
Walaupun BN dilihat sangat berminat dengan Selangor, namun pendirian kuat wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tetap kukuh sekaligus menghalang BN menguasai Selangor.
“Bukan nak lompat, tidak ada seorang pun yang akan lompatlah, kerana rakyat memilih kita, kita akan kekal, termasuk Adun Pelabuhan Klang yang saya jumpa baru-baru ini, saya rasa beliau tidak akan lompat, akan bersama dengan parti media yang mainkan,” katanya.
Menurut Suhaimi, pendekatan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Selangor sekarang adalah berbeza dengan pemerintahan kerajaan BN yang lepas.
Segala isu dan masalah yang berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan parti PKR dan kerajaan Selangor yang mana beberapa pandangan dan pendapat akan diambil untuk mengatasinya.
“Di mesyuarat tersebut, akan mengeluarkan pandangan dan memberikan idea-idea dan cara terbaik bagaimana kita merapatkan dan membantu rakan-rakan kita yang lain diperingkat kerajaan negeri.
“Dan diperingkat kerajaan Selangor dipengerusikan oleh Menteri Besar dan semua isu-isu yang agak sensitif diperbincangkan,” katanya.
Begitu juga bagi S.Manikavasagam, perbincangan dalaman akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam parti yang merangkumi parti PKR, Pas dan DAP.
“Isu-isu semua patut Menteri Besar panggil semua, termasuk adun, ahli parlimen, semua boleh selesai, semua remeh..takde masalah parti, tapi UMNO-Barisan dapat ada isu-isu memainkan isu ini dibesar-besarkan.
“Patut ada perbincangan dalaman sendiri, sepatutnya sering diadakan untuk memahami antara satu sama lain dalam tiga parti berkenaan,” katanya.

Selasa, 1 September 2009

Pemerintah 'double standard': Rodziah Ismail


SHAH ALAM – Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail mempersoalkan 'double standard' yang diamalkan pemerintah kerana kelihatan hanya menggunakan ISA ke atas pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa menimbulkan isu perkauman seperti mana dilalui Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok tahun lepas.
Bagaimanapun katanya, tiada tindakan dikenakan ke atas pimpinan atau penyokong Barisan Nasional (BN) yang menjurus kepada ketegangan perkauman seperti mana disaksikan dalam perarakan kepala lembu di depan Bangunan SUK pada Jumaat lalu. ”Ini jelas bahawa ISA digunakan oleh pihak pemerintah hanya untuk memburukkan imej pimpinan PR. Untuk menghalalkan penggunaan ISA, pimpinan PR dikaitkan pula dengan isu ketegangan perkauman.
”Maka saya tetap berpegang kepada pendirian bahawa ISA harus dimansuhkan kerana ISA telah memberi kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri sehingga bertindak secara selektif serta menafikan hak perbicaraan dan hak untuk membela diri seseorang,” katanya. Beliau berharap liputan mengenai isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Sekysen 23 ini tidak teralih daripada masalah pokok, iaitu isu perancangan komuniti yang bakal diselesaikan dalam pertemuan dengan penduduk Seksyen 23 pada 5 September nanti.
Beliau juga bersedia untuk memberi penjelasan mengenai pendirian pemimpin PR berhubung isu ISA bagi mengelakkan kekeliruan.

SPR putuskan tidak ada kekosongan di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memutuskan tidak ada kekosongan di Dun Kota Seputeh, Kedah walaupun Speaker Dun Kedah memohon pilihan raya diadakan di kawasan itu.
"SPR juga memutuskan bahawa kerusi Adun Kota Siputeh masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sarif yang beliau menangi dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.
Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail, menghantar surat kepada SPR memaklumkan kekosongan di kerusi itu berikutan kegagalan Adunnya, Dato' Abu Hassan Sharif menghadiri dua kali sidang Dun secara berturut-turut.
Mengikut peraturan dalam Dun Kedah, mana-mana Adun yang gagal menghadiri sidang Dun dua sessi berturut-turut tanpa kebenaran dari Speaker akan hilang kerusinya.
Dalam ulasan spontannya, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, keputusan ini membayangkan sikap sebenar badan yang dikatakan bebas itu.
"Peraturan ini bukannya baru dan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tetapi peraturan yang telah sedia ada. Nampaknya SPR lebih senang menafikan peraturan ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun, Salahudin tidak terkejut dengan keputusan ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah membayangkan tindakan yang perlu diambil oleh SPR sebelum ini.
Abu Hasan Sarif tidak pernah memaklumkan kepada Speaker DUN atau pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tentang ketidakhadiran beliau ke sidang DUN yang diadakan 9 Ogos lalu.
Abu Hassan sendiri tidak hadir pada Sidang Dewan pada 19 April sebelum itu bermakna dia tidak hadir dua kali bertutut-turut.
Menurut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir ke mesyuarat dewan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, maka kerusinya hendaklah dikosongkan.
Abdul Isa, Abu Hassan hanya memaklumkan perkara demikian kepada Ketua Pembangkang, Dato' Seri Mahdzir Khalid melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menurut Pengerusi SPR, pihaknya telah meminta nasihat dari Jabatan Peguam Negara sebelum membuat keputusan dalam mesyuarat mereka hari ini.
SPR memutuskan bahawa berdasarkan kepada takrif perkataan consecutive meetings, Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah bukanlah consecutive meetings dalam erti kata Perkara 51.
Sehubungan itu, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa Abu Hassan tidak hadir dalam dua mesyuarat berturut-turut.
Abdul Aziz berkata, SPR berpendapat "ini adalah kerana mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN berkenaan bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan."
"Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut bagi dua penggal yang berbeza. Tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan penggal persidangan kedua ialah selama tiga bulan 20 hari," katanya.
Kata Abdul Aziz lagi, setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, ia memutuskan bahawa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan dalam erti kata Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman.
Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza, jelas beliau.
"Surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh diterima oleh SPR sebagai penjelasan mengenai ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat Dewan pada 9 Ogos 2009.
"SPR juga mendapati bahawa kegagalan ADUN Kota Siputeh itu menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal (selewat-lewatnya pada 9 Ogos 2009) tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal.
"SPR berpendapat bahawa sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. SPR memutuskan bahawa tiada berlaku apa-apa kekosongan pada kerusi Kota Siputeh," katanya.
Sementara itu, Speaker DUN, Abdul Isa akan membuat kenyataan esok mengenainya selepas meneliti alasan yang diberikan oleh SPR.