Rabu, 3 Mac 2010

12 MP IKRAR TOLAK SPEKULASI KELUAR PKR

PETALING JAYA – Seramai 12 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam menafikan spekulasi keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen bebas seperti didakwa di lama-laman blog.
Mereka juga menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, semalam.
Mereka ialah Datuk Kamarul Baharin Abbas (Teluk Kemang), Ahmad Kassim (Kuala Kedah) Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Aziz Abd Kadir (Ketereh) dan Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).
Turut serta, S Manakavasigam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Amran Abd Ghani (Tanah Merah) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Utara).
Bagaimanapun, dua lagi Ahli Parlimen PKR, N Gobalakrisnan (Padang Serai) dan Gwo Burne Loh (Kelana Jaya) tidak hadir kerana berada di luar negara.
Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas yang bercakap mewakili 12 pemimpin itu berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) cuba memecahbelahkan parti dengan menyebarkan desas-desus bahawa lebih ramai wakil PKR akan melompat parti.
Beliau yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan berkata, BN sebenarnya gusar melihat gelombang kedua sokongan rakyat kepada pemimpin Pakatan Rakyat, terutama berikutan kes fitnah melibatkan Anwar.
”Kami ingin menekankan bahawa perjuangan kita untuk membela prinsip keadilan. Kami juga ingin menyatakan bahawa sokongan kami untuk Anwar sebagai pemimpin PKR tidak berbelah bagi,” kata Kamarul.
Menurutnya, kesemua 12 Ahli Parlimen PKR menandatangani kenyataan menjanjikan kesetiaan mereka kepada parti, dan ia suatu langkah yang dibuat secara sukarela.
Ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen lain dalam parti akan mengadakan sidang akhbar yang serupa dengan sumpah kesetiaan mereka, Kamarul berkata, mereka masih lagi bersama parti.:
Katanya, beliau tidak fikir lebih ramai Ahli Parlimen PKR akan meninggalkan parti.
Pada sidang media semalam, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin tidak menyatakan pendirian bersama kerana masih dalam penyiasatan panel disiplin. “Kesnya masih lagi tertangguh, biarlah ia dilaksanakan dahulu. Namun, sebagai sebuah pasukan, kami berharap Zulkifli akan bersama kita,” katanya.
Isnin lalu, Salehuddin meramalkan seramai 10 Ahli Parlimen PKR akan keluar parti dalam masa terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan