Jumaat, 29 Januari 2010

PKR tangguh pemilihan, lewat 6 bulan?

KUALA LUMPUR, Jan 30 - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemungkinan besar akan menangguhkan pemilihan kedua-dua peringkat bahagian dan pusat - buat julung kali menggunakan sistem setiap ahli mengundi - sehingga hujung tahun ini.
PKR sepatutnya mengadakan pemilihan bahagian, yang kini dikenali sebagai cabang, pada Mac dan April manakala peringkat pusat pula Mei ini.
Jika penangguhan pemilihan diterima bermakna PKR hanya akan mengadakan kongres tahunannya Mei ini tanpa pemilihan manakala pemilihan dianjakkan enam bulan.
Setiausaha agung baru PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan membawa opsyen itu ke mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) esok untuk mendapatkan pertimbangan.
Alasan diketengahkan beliau ialah kesuntukan masa untuk mengeluarkan notis 30 hari mesyuarat cabang dan urusan-urusan lain berkaitan penubuhan 15 cabang baru.
"Walaupun Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang ditemui (semalam) akhirnya memaklumkan bahawa pindaan perlembagaan parti sudah diperakui, kami merasakan masa suntuk untuk mengadakan pemilihan peringkat bahagian (pada Mac dan April) dan kemudian pada Mei," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Kes liwat penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bermula Selasa ini.
Difahamkan kemungkinan faktor itu juga akan diambil kira dalam pertimbangan PKR menangguhkan pemilihan sehingga hujung tahun, kemungkinan November dan Disember.
Jika perbicaraan Anwar berjalan sebagaimana dijadualkan oleh mahkamah kepimpinan parti itu memerlukan masa untuk menggerakkan kempen penerangan di peringkat bawah dan kekal berfokus dalam kes ketua umum Pakatan Rakyat itu.
Semalam rombongan empat pemimpin termasuk Saifuddin dan naib presiden R. Sivarasa menemui RoS.Pada pertemuan itu RoS mengesahkan pindaan perlembagaan PKR yang diluluskan Jun lalu.
Ia juga menerima kelulusan penubuhan 15 cabang baru.
Tiga hari lalu, Fuziah Salleh, pengarah pilihan raya PKR yang baru memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya kemungkinan tidak dapat mengadakan pemilihan pucuk pusat Mei ini mengikut peruntukan baru jika pindaan perlembagaan tidak diperakui RoS.
Kata Fuziah, jika pihaknya tidak mendapat kelulusan dalam waktu terdekat ini kemungkinan hanya akan dapat mengadakan kongres tahunan tanpa pemilihan Mei ini.
Jika keadaan itu berlaku PKR terpaksa mengadakan satu lagi kongres khusus untuk mengadakan pemilihan hujung tahun ini.
Ahli Parlimen Kuantan ini menambah PKR mahu mengadakan pemilihan di semua peringkat menggunakan peruntukan baru yang telah dipinda.
Melalui pemilihan kali ini, Fuziah menambah pihaknya mahu mendapatkan mandat baru daripada ahli untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya kecewa kerana seolah-olah wujud diskriminasi dalam mendapatkan perakuan RoS.
Di bawah pindaan perlembagaan yang diluluskan 8 Jun lalu, seramai 300,000 ahlinya akan memilih barisan kepimpinan pusat secara langsung.
Selain itu, PKR akan mengehadkan presiden parti memegang jawatannya bagi satu tempoh maksimum tiga penggal selama sembilan tahun. Ia merupakan antara pindaan fundamental dan istilah yang diperhalusi kongres khas tahun lalu.
Tempoh had pegang jawatan hanya membabitkan kerusi presiden parti.
Di bawah sistem baru itu pengundian akan diadakan di setiap bahagian dengan penjumlahan undi akan dibuat di peringkat nasional.
Selain membenarkan kira-kira 300,000 ahlinya memilih pemimpin peringkat pusat secara langsung, ia juga akan menambah jumlah naib presiden daripada lima kepada tujuh orang iaitu empat dipilih dan tiga dilantik.

Khamis, 28 Januari 2010

AZMIN ALI - ADA MAKLUMAT PEMUDA UMNO TERLIBAT DLM SERANGAN GEREJA DESA MELAWATI

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali akan mendedahkan satu maklumat yang diperolehinya yang mendakwa sebahagian yang dituduh berhubung kes serangan gereja di Desa Melawati tempoh hari adalah dari ahli pemuda Umno.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata sedang mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan nama-nama tersebut kepada umum.
Selain nama, beliau juga sedang dalam usaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno kesemua mereka yang didakwa terlibat.
"Berdasarkan senarai nama tertuduh yang telah didakwa di mahkamah, sebahagian daripada mereka pemuda Umno bahagian Gombak dan bahagian Ampang.
"Maklumat awal yang saya dapat, sekurang kurangnya empat atau lima orang ahli Umno, malah cawangan mana pun saya sudah perolehi," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Pada 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, terbakar diserang dengan bom api.
Pada masa sama, beliau mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjawab segera dakwaan penglibatan ahli Umno dalam kes terbabit.
"Saya lihat trend hari ini, survival Umno itu hanya boleh diperolehi melalui permainan isu kaum dan agama.
"Saya harap Umno hentikan sentimen seperti ini kerana ia cukup bahaya kepada rakyat Malaysia," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu melawat tempat kepala babi yang dilontar di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya awal pagi ini.Berhubung hal itu, PKR jelasnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
Islam tegasnya tidak menganjurkan perbuatan khianat seperti itu apatah lagi yang boleh mencetuskan keadaan tidak tenteram dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk.
"Pihak polis harus kerah seluruh kekuatan yang ada untuk menjaga ketenteraman awam dan bukan menjaga keselamatan dan ketenteraman pemimpin Umno dan Barisan Nasional sahaja," katanya.

Ahad, 24 Januari 2010

KEMPEN MENGEMPEN UTK JAWATAN CABANG PKR BERMULA DAH !


Sebagaimana yang kita ketahui umumnya bagi ahli PKR pada 2010 ini akan berlansungnya Mesyuarat Agung Tahunannya. Mesyuarat ini dijangka bermula pada bulan Februari akan datang. Maka akan bermulalah kempen mengempen untuk menjadi Ketua Cabang, Timbalan, Naib Ketua dan AJK cabang kerana Mesyuarat Agung kali ini akan berlakulah pemilihan AJK Cabang yang baru setelah tamatnya tempoh AJK cabang yang lalu. Dalam pemerhatian saya telah berlaku kerja2 kempen mengempen ini yang mana pihak yang berminat telah mula menjalankan operasinya dan gerak saraf mula menembusi kesetiap ahli parti. Bagi yang memang layak kerja kempen mengempen ini menjadi mudah tetapi bagi yang setengah layak kempen mungkin menjadi agak sukar walaupun gejolak dihati tetap mengidam jawatan tersebut. Walau selama ini menjadi ahli yang tidak aktif tetapi menjadi agresif bila Pakatan Rakyat menang terutama di Kedah dan sekebetulan pula PKR menang di Parlimen dan Dun yang ditandinginya, kerana pandai menghemoikan diri maka terlantklah menjadi Ahli Majlis Daerah atau Perbandaran. Padahal semasa PRU dulu dok pakai kain pelikat duduk bersila atas kerusi di rumah. Begitulah adat manusiawi yang pandai mengambil kesmpatan. Menjadi Ahli Majlis maka terasalah dirinya layak untuk menjadi Ketua Cabang pula. Maka mulalah memasang angan2 untuk berkempen kearah tersebut. Untuk menjadi popular bukannya sukar kerana pemberita Akhbar Sinar kan ada. Jadi masuklah gambar kononnya telah menyelesaikan masalah rakyat disana sini untuk tatapan pembaca. Walhal dicawangan sendiri pun ahli menyampah tengok dia. Beginilah sikap oportunis sebahagian ahli PKR yang bermain politik. Tak termasuk Adun yang dipilih rakyat tidak memainkan peranan yang sewajarnya dan juga ada cita2 melompat parti dan ahli parlimennya menunjukkan kononnya zuhud dan pembela Islam gah disana sini tapi hakikatnya ekor bergelumang taik......busuk lagi membusukkan.

Apa yang dinukilkan diatas adalah sebahagian dari cerita ceriti benar yang berlaku di Cabang2 PKR seluruh Malaysia. Parti baru yang semakin mendapat perhatian segenap rakyat Malaysia terutamanya golongan muda. Sewaktu zaman reformasi atau zaman Parti Keadilan Nasional maupun semasa zaman kalah lansung tak mendapat perhatian dan kalau ada pun dok sokong dalam diam atau dok pandang dari jauh aje. Semenjak DSAI keluar dari penjara dan menjadi Ketua Umumnya dan kemenangan telah dapat dicapai dengan menafikan makioriti 2/3 di Parlimen maka berbondong bondonglah yang telah menyertai PKR. Kalau dulunya berkain pelikat tapi lanie asyik beruniform Parti. Dah takada rasa takut dan malu dah berbaju lambang Parti.Pantang ada program anjuran Parti, semuanya diterjah awai2 lagi. Dulu dok hemoi nak jawatan AJK parti aje tapi sekarang dah nak lawan Ketua Cabang.......kahkahkah....Boleh lingkup PKR jika ada yang bersifat sebegini. Pimpinan negeri tak tahu pasai dok kena bodek orang2 yang berperagai hodoh ini juga mungkin telah mendapat kuasa jadi dah tak perlu mendengar suara dan rintihan rakyat bawahan. Juga ada Ahli parlimen yang menggunakan ahli2 bawahan untuk mengugut Pimpinan negeri terutamanya dalam pemilihan ahli2 majlis. Bila juak2nya tak terpilih maka keluarlah dalam media kononnya tak berpuas hati dengan cara Pimpinan negeri. Tak ada rasa kesabaran lansung puak2 ni. Macam nak perintah sepenggal aje. Tak ada salahnya menunggu giliran yang akan tiba kelak kerana yang penting memperkasakan Parti dan Pakatan Rakyat. Jangan diberi peluru dan ruang kepada UBN untuk menembak dan memperlekehkan Kerajaan Pakatan Rakyat. Jangan biarkan rakyat menyampah dan jelak melihat tingkah laku segelintir pimpinan yang berasa di peringkat bawahan juga atasan. Sepatutnya fikirkanlah permasaalahan rakyat marhaen yang perlu dibela. Adios.........

AWASLAH PIMPINAN ATASAN PKR.

Kesah diatas adalah intro sahaja. Pada pemilihan di Mesyuarat Agung Cabang2 PKR pada tahun ini adalah cukup mustahak dan penting untuk kesinambungan Parti pada Rakyat Malaysia. Kerna jika tersalah membuat pilihan akan memudaratkan PKR dan mungkin PKR hanya tinggal nama atau ditolak oleh rakyat Malaysia. Kalau kita perhatikan diakhir akhir ini media gila arus perdana cukup kuat memainkan peranannya. Semua bekas2 ketua pemuda la, bekas setia usaha politik la, bekas pegawai khas la dan bermacam macam bekas lagi yang membuat kenyataan dan memburukkan DSAI khasnya dan PKR umumnya. Kalau peringkat nasional dengan ezam dan anuar shaari. taklama lagi keluar pula statmen kak min yang buat masa ni hilang entah kemana tetapi yang paling kuat keluar didada akhbar adalah kenyataan dari bekas2 ketua pemuda PKR dizaman ezam seperti hamidzon khairudin di Selangor, zamil di Kedah hamdan taha di Perak juga zahid mat arif dan lain2 nama yang dulunya adalah pemimpin tegar pemuda PKR. Apakan daya disebabkan wang ringgit dan habuan dunia semuanya kandas ditengah jalan. Mungkain semuanya dah kaya lanie. Contonya Zamil Ibrahim cukup kaya dah sekarang. Duduk di kelab cinta sayang,kereta berbiji biji siap nak lancarkan produk kecantikannya lagi hujung bulan ni di taman tengku hamimah Sg. Petani. Katanya pejabatnya saja 3 tingkat...fuhhh kayanya. Yang pastinya semuanya adalah kuncu2 ezam md noor dan kelabnya iaitu KELAB ANTI PKR.

KELAB ANTI PKR ini sedang memainkan peranannya. Semua kenyataan yang dibuat adalah atas arahan ezam sendiri. Sebagai yang mengenali zamil kita tahu setakat mana IQnya dalam hal untuk mengekuarkan statmennya pada akhbar. Begitu lah halnya dinegeri lain. Kerja buat mereka adalah untuk menjatuhkan kredibaliti DSAI dan PKR khasnya. Mereka ditaja agar kerjabuat mereka adalah untuk bagi rakyat membenci dan menjauhi PKR dan seterusnya kalah dalam PRU akan datang. Ini adalah hakikat sebenar kerja2 kotor mereka meracuni fikiran rakyat Malaysia. Dan mutakhir ini mereka akan MENAJA calon2 yang bersimpati dan menerima habuan dari Kelab Anti PKR ini. Mereka akan mengeluarkan dana untuk segala aktiviti dalam pemilihan cabang2 PKR di sekluruh Malaysia kali ini. Andaikata calun2 tajaan mereka menang maka selepas itu atau semasa hampir PRU maka satu persatu ketua2 cabang ini akan membuat kenyataan keluar parti dan tak mempercayai kepimpinan DSAI dan pemimpin lain dalam PKR kononnya jauh menyimpang dari perjuangan sebenar. Maka jatuhlah kredebiliti DSAI dan PKR dikaca mata rakyat dan membuatkan parti2 lain dalam pakatan mencurigai PKR dan menyebabkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Seterusnya UBN akan menang besar pada PRU kali itu. Jadi makin tinggilah harga dan habuan diperolehi dari UBN.Jadi sebagai Marhain yang sayangkan Parti berhati hati lah wahai PIMPINAN PKR. Jangan terlampau gairah untuk memilih kroni masing2 tanpa memperhakusi calun2 yang akan bertanding pada pemilihan cabang tahun ini. Ingatlah pelanduk selalu melupakan jerat tapi jerat tidak akan melupakan Pelanduk. Pada ahli2 PKR yang akan bersidang pilihlah pemimpin yang sejati dan tulus tanpa berkepentingan. Yang pasti jangan di pilih dari gulungan berkepentingan atau dari Kelab Anti PKR. Selamat Bersidang.

NEGARA DAN RAKYAT MALAYSIA SELAMAT TANPA UBN......

@Jin Brabus


Khamis, 21 Januari 2010

MAJLIS TAKLIMAT KES MAHKAMAH DS ANWAR KPD DIPLOMAT-HOTEL DE PALMA 19 JAN 2009




Oleh G. Manimaran dan Adib Zalkapli
KUALA LUMPUR, Jan 19 — Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi memberi taklimat kepada para diplomat asing di negara ini tentang perkembangan kes liwat kedua penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual bermula minggu depan.
Turut diberi taklimat ialah isu kontroversi penggunaan kalimah “Allah”.
Wakil-wakil media asing juga hadir pada majlis taklimat ini. Bagaimanapun Anwar tidak menghadiri taklimat itu yang diadakan di sebuah hotel di Ampang dekat sini.
Sebaliknya taklimat diberikan oleh timbalan presiden Dr Syed Husin Ali dan naib-naib presiden Sivarasa Rasiah dan Mustafa Kamil Ayub. Mustafa juga merupakan pengerusi biro antarabangsa PKR.
Turut hadir pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.
Taklimat itu diberikan dua hari selepas Anwar kembali dari luar negara.
Langkah pagi ini menyusul pertemuan Anwar dengan sekumpulan kira-kira 120 orang yang terdiri daripada ahli poltik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan termasuk pemimpin agama dan ahli akademik berhubung isu kalimah “Allah” di kediamannya malam tadi.
Satu dokumen bersama hasil pertemuan malam tadi dijangka dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, Syed Husin ketika dihubungi mengesahkan taklimat hari ini dihadiri kira-kira 50 perwakilan asing termasuk duta beberapa negara.
Jelas beliau, pihaknya menyentuh kedua-dua isu kalimah Allah dan kes mahkamah membabitkan Anwar pada taklimat hari ini.
“Tentang soal kes Anwar, kami menjelaskan bahawa ada unsur-unsur tidak adil dalam soal pihak berkuasa menangani kes ini.
“Nampaknya mereka cuba untuk mengetepikan Anwar daripada kegiatan politik kerana beliau dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan,” katanya.
Dalam isu kalimah Allah, kata beliau, PKR mengetengahkan pendirian mereka berdasarkan lunas agama yang bukan Islam juga boleh menggunakan kalimah Allah.
“Kami menekankan bahawa isu kalimah Allah hanya dibesar-besarkan oleh kerajaan untuk mendapatkan sokongan, menggunakan isu ini untuk membawa kemenangan kepada BN,” kata Syed Husin.
Bagaimanapun Syed Husin menafikan taklimat ini bertujuan mendapatkan simpati terhadap Anwar menjelang kesnya yang dijadual bermula Isnin ini.
“Kami cuma memberi penerangan kepada mereka tentang isu kalimah Allah dan pada masa yang sama mengenai kes Anwar dan menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan mereka,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, ini bukan perkara baru kerana pihaknya pernah mengadakan taklimat seperti ini sebelum ini.
PKR juga kini mengadakan program jelajah negara sejak minggu lalu dan ceramah 40 malam anjuran sayap pemudanya, Angkatan Muda Keadilan sejak bulan lalu.
Difahamkan langkah itu diambil oleh parti dalam usaha mendapatkan sokongan ekoran tuduhan yang dikenakan ke atas Anwar, yang kedua sejak tahun 1998.
Anwar, yang juga ketua umum Pakatan Rakyat, sudah banyak kali menyifatkan tuduhan itu sebagai konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan beliau dan partinya.
Pada tahun 2008, kerajaan juga pernah mengadakan taklimat sedemikian kepada diplomat asing, beberapa minggu selepas Anwar ditahan berhubung dakwaan tersebut. Kerajaan menafikan dakwaan itu.
Minggu lalu Kementerian Dalam Negeri memberi taklimat kepada diplomat asing mengenai perkembangan isu kalimah “Allah”.
Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 25, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.
Perbicaraan kes liwat itu ditetapkan bermula Isnin ini selepas permohonannya untuk membuang kes tersebut ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu.


Selasa, 12 Januari 2010

DS ANWAR KE HULU SELANGOR !

19 JANUARI 2009 (SELASA)

8MLM
HULU BERNAM
10 MLM
DATARAN SENTOSA
BUKIT BERUNTUNG

RakyatLAH Juara Rakyat.... PR Hulu Selangor


BUKIT SENTOSA – Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di Hulu Selangor menjelaskan bahawa UMNO atau Barisan Nasional (BN) bukanlah juara kepada rakyat sebaliknya rakyatlah juaranya.
Penjelasan itu dibuat sejurus berakhirnya Program Juara Rakyat (PJR) kelmarin menerusi Program Penerangan PR di Dewan Komuniti Bukit Sentosa di sini.
Tiga pemimpin PR daerah yang bangkit memperjelaskan isu itu termasuklah, Yang Dipertua Pas Hulu Selangor, Abdul Wahid Basri; Ahli Sekretariat Penerangan PR Selangor, Mohd Nashruddin Abd Aziz dan Pengerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Chng Boon Lai mewakili DAP. Turut hadir adalah Roslan SMS, Ketua Penerangan PAS Selangor, Pn Noorsham Abu Samah, Naib Ketua Wanita PKR, Ketua Wanita Cabang PKR, Pn Mai Md Zin dan Shaiful Anuar Sulaiman, Ketua Penerangan PKR Cabang Hulu Sgr.
Abdul Wahid berkata, pimpinan UMNO harus sedar hakikat tersebut dan penjelasan sewajarnya perlu diberikan agar mentaliti masyarakat tidak dipesongkan dengan fahaman UMNO dan BN.
“Kita menjelaskan bukan mereka (UMNO/BN) juara rakyat kerana rakyat yang berkorban, rakyat membelanjakan wang mereka, rakyat yang membayar cukai dan sebagainya. Jadi, rakyatlah juara sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menyampaikan penerangan pada program tersebut.
Menurutnya, program penerangan seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memperjelaskan kepada rakyat perkara sebenar selain penerangan isu semasa.
Sementara itu, Mohd Nashruddin yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor berkata, mata rakyat dikaburi dengan penganjuran PJR sehingga mendakwa berlakunya pembaziran wang rakyat.
Menurutnya, beliau difahamkan RM2 juta dilaburkan dalam program tersebut yang pada hakikatnya peruntukan besar itu mampu disalurkan kepada rakyat memerlukan.
“Rakyat dikaburi dengan penganjuran program besar-besaran sehingga sanggup mengangkut pengunjung daripada luar dengan bas bagi memenuhkan tapak program.
“Tetapi, rakyat tidak tahu adanya pemimpin BN yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan di sebaliknya,” katanya.
Menurutnya, PR menyokong kehadiran Perdana Menteri tetapi menolak unsur pembaziran dalam program tersebut.
Mohd Nashruddin turut menganggap Perdana Menteri mendapat maklumat yang salah mengenai kerosakan bumbung di kawasan terbabit daripada pemimpin tempatan.
Menurutnya, pengumuman peruntukan RM15.6 juta sebenarnya melebihi kos sepatutnya bagi membaiki bumbung pangsapuri di kawasan itu.
“Hakikatnya, kerosakan bumbung itu berlaku sebelum ada penduduk mendiaminya disebabkan masalah struktur binaannya dan tidak berlaku perpindahan penduduk di kawasan pangsapuri terbabit seperti digembar-gemburkan,” katanya.Menurutnya, isu berkenaan sudah lama iaitu ketika BN memerintah lagi dan perkara itulah yang ingin diperjelaskan kepada rakyat.

Rabu, 6 Januari 2010

PROGRAM TURUN PADANG DI SELANGOR LEBIH BANYAK TAHUN INI..



SHAH ALAM, Jan 6 – Ini bukan tahun pilihan raya, tetapi kerajaan negeri Selangor mengumumkan ia akan mengadakan lebih banyak program turun padang untuk para pemimpin bersama rakyat pada tahun ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tanggal 8 Mac ini genap dua tahun pilihan raya umum diadakan.
Selangor antara negeri yang jatuh ke tangan pembangkang yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat (PR) iaitu ikatan DAP, PKR dan DAP.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini, Abdul Khalid berkata program itu bukan sahaja akan dilaksanakan di kawasan kampung tetapi juga di kawasan-kawasan rumah pangsa di bandar-bandar.
Program pertama turun padang telah bermula Isnin lalu di mana Sultan Sharafuddin Idris Shah sudi mencemar duli menghadiri Majlis Menuai Padi di Kg Parit 15, Simpang Lima, Sungai Besar, kata beliau.
Bagi program di rumah-rumah pangsa ia akan melibatkan program pembersihan dan mengecat kembali kediaman-kediaman berkenaan bagi menceriakan suasana kehidupan masyarakat di sana.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku tunjuk perasaan pada Jumaat ini berikutan bantahan umat Islam di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah, beliau berkata: “Saya sokong bantahan dalam stadium”.
Dipetik Bernama beliau juga berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah terutama kenyataan-kenyataan yang mengelirukan umat Islam.
Sementara itu, Kerajaan Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini berkata ia bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan SSIC Bhd akan menganjurkan program Jelajah Jom Kerja pada Jumaat dan Sabtu ini.
Siri jelajah ini akan menyaksikan peserta-peserta konvoi bergerak di sekitar daerah Klang bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat tentang peluang-peluang pekerjaan di Selangor.
“Antara objektif program ini adalah untuk mempastikan penduduk tempatan diberi keutamaan dalam merebut peluang kerja. Ia juga selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Selangor untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pengurangan pengangguran,” katanya.
Satu sesi temuduga terbuka bagi pencari-pencari kerja juga akan diadakan di Dewan Pejabat Daerah Klang pada Sabtu dan Ahad ini dari pukul 9.00 pagi hingga 5 petang.

Isnin, 4 Januari 2010

GEGAR DILANCARKAN ! 22 JAN 2009 !




Gerakan Gelombang Rakyat (Gegar) dilancarkan untuk membersih imej dan reputasi Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi pelbagai konspirasi daripada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Keadilan Perak, Mustaffa Kamil Ayub berkata, Gegar ini akan mengadakan pelbagai ceramah di setiap bahagian dan mengedarkan risalah kesedaran untuk menjernihkan konspirasi terhadap Anwar.Menurutnya, walaupun Anwar pernah menegaskan tidak pernah bersalah dan memohon untuk digugurkan pertuduhan kes berkenaan
memandangkan terdapat beberapa aspek undang-undang yang boleh tuduhan berkenaan digugurkan.
“Kami juga akan menaikkan sepanduk di seluruh Perak sebagai sokongan kami terhadap Anuar Ibrahim,” terang beliau.
“Acara kemuncak Gegar pada 22 Januari depan bertempat di Pusat Aktiviti Sosial, Cenderong Balai, Sungai Manik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Keadilan Perak, di sini, baru-baru ini.
Mustaffa berkata, Himpunan Bersamamu Anwar Peringkat Negeri Perak akan diadakan secara besar-besaran dan kehadiran Anwar sebagai pemidato utama sudah pasti dapat menyuntik semangat ahli-ahli Keadilan dan Pakatan Rakyat dalam memberi sokongan yang padu kepada beliau.
“Pada 25 Januari pula, kami akan menggerakkan seramai mungkin rakan-rakan dan rakyat negeri Perak untuk hadir ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai membuktikan sokongan kepada Anwar dalam menegakkan keadilan,” tambahnya.
“Dalam tempoh ini juga kami telah memutuskan akan mengadap Yang Dipertuan Agong dan Sultan Perak untuk mempersembahkan memorandum sebagai merayu pihak Istana agar campur tangan dalam kes ini kerana baginda merupakan Ketua Agama,” katanya.
Beliau berkata, dalam isu ini, Anwar telah mengemukakan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) agar kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Syariah atas isu tuduhan fitnah.
Katanya, “dalam masa yang sama, saya juga akan menyediakan memorandum kerana berkaitan dengan soal agama.”
“Selain itu dalam mesyuarat pimpinan Keadilan Negeri yang berlangsung selama tiga jam telah membincangkan tentang program aktiviti bertujuan menggerakkan secara langsung kepada masyarakat, dinamakan ‘Mengakar dan Merimbun,” katanya.

Sabtu, 2 Januari 2010

MB Sgr - PKR pertahankan Parlimen Hulu Sgr, tawan 3 DUN di PRU akan datang !



YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor Darul Ehsan mengumumkan bahawa Yb Dato Dr Zainal Abidin Ahmad, Ahli Parlimen Hulu Selangor akan kembali berkhidmat selepas kesihatannya baik, malah YAB Khalid menyatakan bahawa dengan kesepaduan dan sokongan semua, ketiga-tiga DUN akan ditawan didalam piliharaya akan datang semasa ucapan di Makan Malam PKR Hulu Selangor di Pekan Rasa, Hulu Selangor semalam. Lebih dari 2000 orang telah hadir dari kawasan sekitar Pekan Rasa dan Bukit Beruntung..


Zainal nafi letak jawatan, mahu kekal hingga PRU-13

Oleh G. Manimaran/Msian Insider


Sehari sebelum penamaan calun PRU12 di Bandar Kuala Kubu Bharu
PETALING JAYA, Jan 2 — Pilihan raya kecil ke-10 membabitkan bahagian Parlimen Hulu Selangor perlu dilupakan buat waktu kerana Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (gambar) menafikan desas-desus beliau akan melepaskan kerusinya ekoran masalah kesihatan yang berpanjangan.
Sebaliknya bekas timbalan menteri besar Selangor itu berkata beliau mahu kekal sebagai wakil rakyat bahagian itu sehingga pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini juga menyangkal bahawa beliau telah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kononnya mahu bersara sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor.
"Saya tidak pernah meminta Datuk Seri Anwar supaya mengumumkan (bahawa mahu meletak jawatan). Saya tidak tahu, terserah kepada beliau (laporan kononnya mahu membuat pengumuman)," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Ketika ditanya sama ada akan menyertai ceramah yang bakal diketuai Anwar yang juga Penasihat PKR dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim malam ini, Zainal memberitahu beliau tidak mengambil bahagian dalam majlis itu.
"Saya tidak akan pergi majlis ceramah, sebaliknya saya akan menghantar pegawai khas saya sebagai wakil... saya akan menghantar wakil saya kerana saya takut orang buat spekulasi ketiadaan saya pulak," katanya.
Ketika ditanya sebab tidak akan berada pada ceramah malam ini yang akan diadakan di Hulu Selangor kerana ada urusan keluarga yang perlu diselesaikan.
"Dalam seminggu ini anak perempuan saya akan melangsungkan perkahwinan, jadi perlu menyelesaikan urusan berkaitan," kata beliau dalam nada 'kurang sihat" ketika dihubungi di rumahnya di Batu 9 Cheras dekat sini.
Mengulas lanjut spekulasi kesihatannya semakin merosot, Zainal berkata: "Tidak betul, tidak betul... sedikit pun tak betul."
"Tidak, saya tidak memutuskan untuk meletakkan jawatan. Insya-Allah saya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.
"Nampaknya pengundi-pengundi semakin rapat dengan saya, dan saya pun semakin rapat dengan pengundi kawasan saya. Saya akan terus membantu mereka," kata Zainal.
Pada September lalu Zainal telah menjalani pembedahan.
Cakap-cakap tentang kemungkinan Zainal mungkin letak jawatan sudah kedengaran sejak berbulan dulu.
Jika betul bakal ada pilihan raya kecil.
Dalam pilihan raya umum lalu Zainal menewaskan timbalan presiden MIC Datuk G. Palanival dengan hanya 198 undi.
Zainal memberitahu beliau ada berbual dengan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat di Parlimen baru-baru ini.
"Anwar berkata beliau berpuas hati dengan prestasi saya, dan beliau tanya keadaan saya, telah meminta saya menjaga kesihatan saya," katanya.