Rabu, 6 Januari 2010

PROGRAM TURUN PADANG DI SELANGOR LEBIH BANYAK TAHUN INI..



SHAH ALAM, Jan 6 – Ini bukan tahun pilihan raya, tetapi kerajaan negeri Selangor mengumumkan ia akan mengadakan lebih banyak program turun padang untuk para pemimpin bersama rakyat pada tahun ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tanggal 8 Mac ini genap dua tahun pilihan raya umum diadakan.
Selangor antara negeri yang jatuh ke tangan pembangkang yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat (PR) iaitu ikatan DAP, PKR dan DAP.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini, Abdul Khalid berkata program itu bukan sahaja akan dilaksanakan di kawasan kampung tetapi juga di kawasan-kawasan rumah pangsa di bandar-bandar.
Program pertama turun padang telah bermula Isnin lalu di mana Sultan Sharafuddin Idris Shah sudi mencemar duli menghadiri Majlis Menuai Padi di Kg Parit 15, Simpang Lima, Sungai Besar, kata beliau.
Bagi program di rumah-rumah pangsa ia akan melibatkan program pembersihan dan mengecat kembali kediaman-kediaman berkenaan bagi menceriakan suasana kehidupan masyarakat di sana.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku tunjuk perasaan pada Jumaat ini berikutan bantahan umat Islam di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah, beliau berkata: “Saya sokong bantahan dalam stadium”.
Dipetik Bernama beliau juga berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah terutama kenyataan-kenyataan yang mengelirukan umat Islam.
Sementara itu, Kerajaan Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini berkata ia bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan SSIC Bhd akan menganjurkan program Jelajah Jom Kerja pada Jumaat dan Sabtu ini.
Siri jelajah ini akan menyaksikan peserta-peserta konvoi bergerak di sekitar daerah Klang bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat tentang peluang-peluang pekerjaan di Selangor.
“Antara objektif program ini adalah untuk mempastikan penduduk tempatan diberi keutamaan dalam merebut peluang kerja. Ia juga selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Selangor untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pengurangan pengangguran,” katanya.
Satu sesi temuduga terbuka bagi pencari-pencari kerja juga akan diadakan di Dewan Pejabat Daerah Klang pada Sabtu dan Ahad ini dari pukul 9.00 pagi hingga 5 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan