BUKIT SENTOSA – Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di Hulu Selangor menjelaskan bahawa UMNO atau Barisan Nasional (BN) bukanlah juara kepada rakyat sebaliknya rakyatlah juaranya.
Penjelasan itu dibuat sejurus berakhirnya Program Juara Rakyat (PJR) kelmarin menerusi Program Penerangan PR di Dewan Komuniti Bukit Sentosa di sini.
Tiga pemimpin PR daerah yang bangkit memperjelaskan isu itu termasuklah, Yang Dipertua Pas Hulu Selangor, Abdul Wahid Basri; Ahli Sekretariat Penerangan PR Selangor, Mohd Nashruddin Abd Aziz dan Pengerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Chng Boon Lai mewakili DAP. Turut hadir adalah Roslan SMS, Ketua Penerangan PAS Selangor, Pn Noorsham Abu Samah, Naib Ketua Wanita PKR, Ketua Wanita Cabang PKR, Pn Mai Md Zin dan Shaiful Anuar Sulaiman, Ketua Penerangan PKR Cabang Hulu Sgr.
Abdul Wahid berkata, pimpinan UMNO harus sedar hakikat tersebut dan penjelasan sewajarnya perlu diberikan agar mentaliti masyarakat tidak dipesongkan dengan fahaman UMNO dan BN.
“Kita menjelaskan bukan mereka (UMNO/BN) juara rakyat kerana rakyat yang berkorban, rakyat membelanjakan wang mereka, rakyat yang membayar cukai dan sebagainya. Jadi, rakyatlah juara sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menyampaikan penerangan pada program tersebut.
Menurutnya, program penerangan seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memperjelaskan kepada rakyat perkara sebenar selain penerangan isu semasa.
Sementara itu, Mohd Nashruddin yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor berkata, mata rakyat dikaburi dengan penganjuran PJR sehingga mendakwa berlakunya pembaziran wang rakyat.
Menurutnya, beliau difahamkan RM2 juta dilaburkan dalam program tersebut yang pada hakikatnya peruntukan besar itu mampu disalurkan kepada rakyat memerlukan.
“Rakyat dikaburi dengan penganjuran program besar-besaran sehingga sanggup mengangkut pengunjung daripada luar dengan bas bagi memenuhkan tapak program.
“Tetapi, rakyat tidak tahu adanya pemimpin BN yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan di sebaliknya,” katanya.
Menurutnya, PR menyokong kehadiran Perdana Menteri tetapi menolak unsur pembaziran dalam program tersebut.
Mohd Nashruddin turut menganggap Perdana Menteri mendapat maklumat yang salah mengenai kerosakan bumbung di kawasan terbabit daripada pemimpin tempatan.
Menurutnya, pengumuman peruntukan RM15.6 juta sebenarnya melebihi kos sepatutnya bagi membaiki bumbung pangsapuri di kawasan itu.
“Hakikatnya, kerosakan bumbung itu berlaku sebelum ada penduduk mendiaminya disebabkan masalah struktur binaannya dan tidak berlaku perpindahan penduduk di kawasan pangsapuri terbabit seperti digembar-gemburkan,” katanya.Menurutnya, isu berkenaan sudah lama iaitu ketika BN memerintah lagi dan perkara itulah yang ingin diperjelaskan kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan