Jumaat, 29 Januari 2010

PKR tangguh pemilihan, lewat 6 bulan?

KUALA LUMPUR, Jan 30 - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemungkinan besar akan menangguhkan pemilihan kedua-dua peringkat bahagian dan pusat - buat julung kali menggunakan sistem setiap ahli mengundi - sehingga hujung tahun ini.
PKR sepatutnya mengadakan pemilihan bahagian, yang kini dikenali sebagai cabang, pada Mac dan April manakala peringkat pusat pula Mei ini.
Jika penangguhan pemilihan diterima bermakna PKR hanya akan mengadakan kongres tahunannya Mei ini tanpa pemilihan manakala pemilihan dianjakkan enam bulan.
Setiausaha agung baru PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan membawa opsyen itu ke mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) esok untuk mendapatkan pertimbangan.
Alasan diketengahkan beliau ialah kesuntukan masa untuk mengeluarkan notis 30 hari mesyuarat cabang dan urusan-urusan lain berkaitan penubuhan 15 cabang baru.
"Walaupun Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang ditemui (semalam) akhirnya memaklumkan bahawa pindaan perlembagaan parti sudah diperakui, kami merasakan masa suntuk untuk mengadakan pemilihan peringkat bahagian (pada Mac dan April) dan kemudian pada Mei," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Kes liwat penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bermula Selasa ini.
Difahamkan kemungkinan faktor itu juga akan diambil kira dalam pertimbangan PKR menangguhkan pemilihan sehingga hujung tahun, kemungkinan November dan Disember.
Jika perbicaraan Anwar berjalan sebagaimana dijadualkan oleh mahkamah kepimpinan parti itu memerlukan masa untuk menggerakkan kempen penerangan di peringkat bawah dan kekal berfokus dalam kes ketua umum Pakatan Rakyat itu.
Semalam rombongan empat pemimpin termasuk Saifuddin dan naib presiden R. Sivarasa menemui RoS.Pada pertemuan itu RoS mengesahkan pindaan perlembagaan PKR yang diluluskan Jun lalu.
Ia juga menerima kelulusan penubuhan 15 cabang baru.
Tiga hari lalu, Fuziah Salleh, pengarah pilihan raya PKR yang baru memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya kemungkinan tidak dapat mengadakan pemilihan pucuk pusat Mei ini mengikut peruntukan baru jika pindaan perlembagaan tidak diperakui RoS.
Kata Fuziah, jika pihaknya tidak mendapat kelulusan dalam waktu terdekat ini kemungkinan hanya akan dapat mengadakan kongres tahunan tanpa pemilihan Mei ini.
Jika keadaan itu berlaku PKR terpaksa mengadakan satu lagi kongres khusus untuk mengadakan pemilihan hujung tahun ini.
Ahli Parlimen Kuantan ini menambah PKR mahu mengadakan pemilihan di semua peringkat menggunakan peruntukan baru yang telah dipinda.
Melalui pemilihan kali ini, Fuziah menambah pihaknya mahu mendapatkan mandat baru daripada ahli untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya kecewa kerana seolah-olah wujud diskriminasi dalam mendapatkan perakuan RoS.
Di bawah pindaan perlembagaan yang diluluskan 8 Jun lalu, seramai 300,000 ahlinya akan memilih barisan kepimpinan pusat secara langsung.
Selain itu, PKR akan mengehadkan presiden parti memegang jawatannya bagi satu tempoh maksimum tiga penggal selama sembilan tahun. Ia merupakan antara pindaan fundamental dan istilah yang diperhalusi kongres khas tahun lalu.
Tempoh had pegang jawatan hanya membabitkan kerusi presiden parti.
Di bawah sistem baru itu pengundian akan diadakan di setiap bahagian dengan penjumlahan undi akan dibuat di peringkat nasional.
Selain membenarkan kira-kira 300,000 ahlinya memilih pemimpin peringkat pusat secara langsung, ia juga akan menambah jumlah naib presiden daripada lima kepada tujuh orang iaitu empat dipilih dan tiga dilantik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan