BATANG KALI - “Kita serius hadapi PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, sebab kita mahu menang kali ini,” kata Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Muhamad Nazar Yakin selepas menghadiri Mesyuarat Jentera Pilihan Raya (JPR) PKR Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Kali.
Muhamad Nazar berkata, PKR akan memanfaatkan masa yang ada untuk meyakinkan rakyat dan menggerakkan seluruh jentera sebelum tibanya PRU.
“Kita bertanding di peringkat Parlimen dan kita perlukan jentera yang kuat di setiap Dun, usaha ini akan digerakkan dengan bantuan komponen Pakatan Rakyat (PR) lain untuk merampas kembali Parlimen ini dan seluruh kerusi Dun,” katanya.
Dalam mesyuarat JPR itu, beberapa usul turut dikemukakan khususnya mengenai pemilihan calon tempatan yang akan bertanding pada PRU13 nanti.
Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha PKR Cabang, Romeyzee Zainuddin itu turut dihadiri Timbalan Ketua PKR Cabang, Mustafa Kamal Sapinggi dan Pengarah Dun Batang Kali, Mat Rahat Ibrahim.
Sementara itu, Mustafa turut melahirkan keyakinan PR mampu menang dan merampas kembali Parlimen daripada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, rakyat semakin matang, jentera yang disusun juga sudah mampu mengatur strategi menumpaskan lawan.
“Kita yakin PR boleh menang, bukan saja di Parlimen malah di kesemua kerusi Dun, jentera yang matang setelah melalui beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sudah mampu menewaskan parti lawan,” katanya.
Dalam pada itu, Mat Rahat menasihatkan ahli parti dan penyokong supaya tidak mudah mengalah dengan menterjemahkan sokongan serta harapan mereka melalui undi.
Menurutnya, penyokong parti perlu berkorban, ikhlas dan sabar serta mengikut strategi parti ketika menentang jentera BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan