Isnin, 22 Julai 2013

prk kuala besut seri, rakyat ganu berseri-seri

PRK Kuala Besut: Terengganu seri, rakyat berseri-seri...


Kempen Pas di Kuala Besut yang berslogankan 16-16 Terengganu Baru semakin menimbulkan kebimbangan kepada UMNO dan BN. Terlihat bahawa mereka amat bimbang kiranya perkara itu menjadi kenyataan. Di hari-hari terakhir ini isu itu menjadi percakapan semua orang dan mungkin menusuk ke dalam kalbu para pengundi.

Selepas Najib Presiden Pas, Husam Musa menyatakan keddudukan seri tidak akan menggugat kerajaan BN di Terengganu sebaliknya hanya menjadikan Pas mempunyai suara yang lebih kuat untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden Pas bahawa parti itu tidak mahu jawatan Menteri Besar, kebimbangan para pemimpin UMNO mulai menyerlah.

Sebelum ini dilontarkan persepsi bahawa Pas ingin memenangi Kuala Besut kerana mengidamkan kerusi Menteri Besar dan kedudukan 16-16 akan dijadikan laluan ke arah itu. Rupa-rupanya Pas tak ingin jawatan Menteri Besar, mereka hanya mahukan lebih kuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terutam kerana negeri itu merupakan negeri yang kaya dengan royalti minyak.

Menjelang hari-hari terakhir kempen sebelum pembungan undi pada 24 Julai, semakin ramai pemimpin dan menteri UMNO datang ke Kuala Besut. Semuanya bercakap tentang 16-16 dan Terengganu seri. Pelbagai hujah dan analogi dilontarkan kepada pengundi Kuala Besut agar tidak terpedaya dengan kempen Pas mengenai kedudukan 16-16 dalam DUN Terengganu serta hujah-hujah sampingan lainnya.

Zahid Hamidi mengingatkan pengundi agar jangan terpedaya dengan perangkap Pas mengenai 16-16, sambil mengingatkan kedudukan DUN Terengganu yang mungkin tergantung kerananya. Muhyiddin, Ahmad Maslan, KJ, Idris Jusoh dan lain-lain pemimpin yang kerap turun ke Kuala Besut juga bercakap isu yang sama. Mereka mahu kedudukan 16-16 dielakkan dan dikekalkan kedudukan 17-15 dengan terus memberi kemenangan kepada calon BN.

Hakikatnya, kempen untuk menjadikan Terengganu seri mula mendatangkan kerisauan kepada UMNO dan BN. Bukan saja curahan projek dan pembangunan melimpah di Kuala Besut, dijangkakan juga kebanjiran pemimpin UMNO daripada Kuala Lumpur akan turut berlaku di hari-hari terakhir kempen ini.

Jika mengikut laporan media, sehingga semalam saja sudah sejumlah RM337 juta projek dicurahkan di Kuala Besut yang meliputi peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian, kerajaan negeri Tengganu dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Dengan lebih ramai menteri dijangka turun, bermakna akan ada lagi projek tambahan untuk Kuala Besut. Nilainya mungkin mencecah atau melebihi RM500 juta. Limpahan dan curahan projek ini, walau apa pun tafsirannya, ia adalah menguntungkan penduduk Kuala Besut.

Bayangkan, belum pun kedudukan Terengganu seri dicapai, sudah begitu banyak projek pembangunan dan wang dicurahkan. Tentulah jika kedudukan seri 16-16 dijadikan kenyataan, lebih banyak lagi wang akan dicurahkan, bukan saja untuk Kuala Besut tetapi juga untuk seluruh negeri Terengganu.

Walaupun mengikut rakan-rakan yang pergi ke Kuala Besut, keadaan kempen agak tenang tetapi mereka juga tidak berani menjangkakan secara pasti siapa yang akan menang ketika ini. Mood pengundi bila-bila masa boleh berubah dan sesuatu yang diluar jangkaan tidak mustahil boleh berlaku.

Hakikatnya, BN tidak boleh terlalu yakin dan Pas pula tidak seharusnya mudah putus harapan.

Namun jika pengundi bijak dan berfikir secara menyeluruh untuk kepentingan rakyat Terengganu, menjadikan kedudukan seri 16-16 tidak seharusnya diabaikan begitu saja. Rahmat dan nikmatnya untuk rakyat sudah nyata di depan mata sekarang ini dan ia akan berganda lagi di masa-masa akan datang kiranya kedudukan 16-16 itu benar-benar berlaku.

Dalam usaha mempertahankan kuasa dan kerajaannya, seluruh Terengganu pasti akan meriah dengan pelbagai projek pembangunan dan menaikkan taraf kehidupan rakyat.

Seperti kata rakan yang baru pulang dari Kuala Besut, Terengganu seri, rakyatnya pasti berseri-seri...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan