Kecut perut Pengerusi SPR
MELAKA: Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata
tiada keperluan bagi Selangor menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat
dakwaan berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di
negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.
Beliau
berkata parti atau ahli politik yang tidak berpuas hati dengan
perjalanan PRU13 seharusnya mengikut saluran yang betul dengan
memfailkan petisyen di mahkamah.
“Rasa
tidak puas hati mengatakan SPR itu dan ini elok dibawa ke mahkamah
tetapi berhubung suruhanjaya penyiasatan berkenaan saya tidak pasti apa
bendanya, adakah suruhanjaya ini boleh menyiasat SPR yang ditubuhkan di
bawah perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Penghargaan dan Penyampaian Sijil kepada petugas PRU13 di Melaka, malam
tadi.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mahu menubuhkan
suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan PRU13. Beliau berkata SPR
tidak melakukan sebarang penipuan ketika menjalankan tugas sepanjang
PRU13 sebaliknya mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun,
beliau mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki SPR
namun ia tidak menyebabkan proses pilihan raya lepas terbatal.
Katanya PRU13 berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi merupakan yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 85 peratus.
Mengulas
lanjut, Abdul Aziz berkata parti atau ahli politik juga seharusnya
menerima keputusan PRU13 lepas dengan hati terbuka kerana ia adalah
keputusan pengundi dan bukannya SPR.
Beliau
berkata perhimpunan haram bertujuan melahirkan perasaan tidak puas hati
juga tidak seharusnya diadakan kerana ia tidak mengikut saluran yang
ditetapkan.
Katanya
situasi itu hanya membuang masa, tenaga dan menyebabkan kemusnahan harta
benda awam sekiranya berada dalam keadaan tidak terkawal.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan