SHAH ALAM 18 Julai: Kerajaan Selangor menghantar surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bagi memaklumkan hasrat kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Exco Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok mengetuai delegasi ke Putrajaya petang ini bagi menyerahkan surat itu secara peribadi.
“Isu ini penting (dan perlu) diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kerajaan Negeri konsisten berpendirian bahawa penstrukturan semula industri air adalah penyelesaian holistik dan menguntungkan rakyat seperti dihasratkan Akta Perkhidmatan Industri Air 2206,” jelas Khalid dalam satu kenyataan.
Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan penstrukturan semula untuk mengelakkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menanggung kenaikan tarif air sebanyak 50 peratus.
Keputusan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 Perjanjian Konsesi untuk memberi notis kepada Kerajaan Persekutuan bagi kerajaan negeri masuk dalam pengurusan Syabas.
Xavier dalam kenyataan berasingan pula berharap, kakitangan Syabas yang berpengalaman dan berdedikasi agar tidak cemas terhadap masa depan mereka dalam proses ‘step in’ ini.
“Rombakan semula melibatkan pegawai pengurusan kanan, manakala semua kakitangan teknikal serta pegawai pengurusan dan pentadbiran peringkat pertengahan akan dikekalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut berkata, kumpulan profesional akan dihantar untuk meneliti operasi harian Syabas, ekoran kegagalan Syabas menjelaskan dengan terperinci beberapa isu dalam taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri pagi tadi.
“Ia dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Suhaimi Kamaruzaman; Pengarah Konsortium Abass, Ir Abas Abdullah; Pengurus Besar Pengurusan Air Kumpulan Perangsang Selangor, Karim Endut dan Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan Perangsang, Kevin Lee.
“Kami yakin kumpulan ini dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air,” kata Menteri Besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan