Isnin, 9 November 2009

KETU A PENERANGAN PKR MENYOKONG DS ANWAR !

SHAH ALAM – `Kata dua` sama ada setia atau keluar daripada parti jelas membuktikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berkompromi kepada pemimpinnya yang tidak setia dan serius memberi khidmat kepada rakyat. 
Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya berkata, amaran itu diberikan supaya pemimpin parti sentiasa bersatu padu, bekerja bersama-sama menyokong agenda perubahan yang dibawa parti agar parti terus kukuh dan dapat mentadbir negara. 
“Jika sebelum ini, parti dilihat masih bertolak ansur dengan membuka ruang kemaafan kepada mana-mana ahli yang terbukti melanggar dasar parti. 
“Namun kali ini, parti bertegas tidak akan berkompromi malah tidak akan menyimpan pemimpin sebegini. Kita kenakan tindakan disiplin dan jika disabit kesalahan mereka akan dibuang,” katanya, semalam. 
Kelmarin, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang, memberi dua pilihan kepada pemimpin dan anggota parti sama ada setia atau keluar daripada parti jika tidak mahu mengikut dasar yang ditetapkan. 
Penasihat PKR itu berkata beliau sedia menerima kritikan terhadap parti tetapi tidak boleh berkompromi dengan anggota yang tidak boleh mengikuti dasar yang ditetapkan parti. 
Ketika ditanya sama ada amaran dilakukan sebagai ‘tindakan segera’ parti bagi memperbaiki imej yang tercalar berikutan ramai pemimpinnya yang lompat parti, Latheefa menafikan perkara tersebut. 
Menurutnya, memulihkan imej parti bukanlah isu yang utama sebaliknya parti mementingkan pemimpin berkualiti dan setia kepada PKR dan Pakatan Rakyat (PR). 
“Apakah kebaikan kepada parti jika masih menyimpan pemimpin seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang (Badrul Hisham Abdullah) yang tidak boleh memberi khidmat kepada rakyat dan sanggup lompat parti? 
“Jika selepas ini ada ahli parti yang terbukti melanggar polisi parti, tindakan disiplin akan diambil seterusnya akan dipecat dari parti jika disabit kesalahan. Tiada kompromi dan bertolak ansur,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan