Selasa, 25 September 2018

ROSMAH DI PANGGIL SPRM LAGI


Datin Seri Rosmah Mansor tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga bulan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu dipanggil ke SPRM untuk soal siasat.

Berbaju kurung hijau, beliau tiba bersama seorang pembantu pada kira-kira pukul 9.50 pagi.

Beliau kelihatan tersenyum dan malah sempat berbual-bual dengan pegawai SPRM yang menunggunya di lobi.

Khabar angin kuat bertiup bahawa beliau mungkin ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah esok.

Ketika ditanya tentang perkara itu, peguamnya Datuk K Kumaraendran berkata beliau tidak tahu-menahu tentang perkara itu.Bagaimanapun, ketika dihubungi, timbalan pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki menafikan Rosmah akan ditahan dan didakwa.

"itu tidak betul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pada 5 Jun lalu, Rosmah dipanggil buat kali pertama dan disoal siasat selama lima jam bagi membantu siasatan terhadap bekas subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

DS ANWAR GEMBIRA JIKA TIADA PERTANDINGAN - KEADILAN DAILY

Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan keputusan Umno untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang akan bermula Sabtu ini.
“Saya sambut baik sesiapa yang tidak bertanding, tentulah saya alu-alukan persaingan. Tetapi saya lebih gembira jika tiada pertandingan.
“Jika Umno tidak bertanding itu OK tetapi saya masih perlu berdepan calon-calon Bebas,” katanya kepada pemberita di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan memboikot PRK Port Dickson.
Boikot itu berlangsung selepas pembangkang kalah tiga kali berturut-turut dalam tiga PRK sebelum ini. 
Sehingga kini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM), seorang bekas pemimpin MIC dan seorang ‘influencer’ Twitter mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam PRK Port Dickson. 
PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan, bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.