Isnin, 25 Oktober 2010

Perjumpaan bersama ChGu Bard (Ahad 24 Okt 2010 4 ptg)


Penerus semangat reformasi kepada anak muda !

Sabtu, 23 Oktober 2010

Team Chegubard, Adun Teja kecewa soal kaum pengaruhi trend undi sayap muda


Badrul Hisham Shaharin dan Chang Lih Kang menunjukkan manifesto barisan mereka yang bertanding jawatan Angkatan Muda Keadilan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SENAWANG, 23 Okt Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan gandingan Adun Teja Chang Lih Kang sebagai timbalannya kecewa kerana faktor kaum dijadikan pertimbangan sokongan pemilihan sayap muda PKR itu.
Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, beliau terkilan kerana aspek kaum masih dianggap sebagai faktor untuk memberikan sokongan kepada Chang yang dimasukkan dalam barisannya.
Katanya, ahli-ahli PKR seharusnya menunjukkan teladan positif kepada parti lain dengan mengetepikan soal ini.
“Saya mendengar di bawah (akar umbi), ada cakap-cakap yang bertanya mengapa saya pilih Chang Lih Kang, orang Cina sebagai calon bagi jawatan timbalan ketua AMK dalam pasukan saya.
“Saya hairan dengan perkara macam ini yang kelihatan masih wujud (dalam PKR) sedangkan kita tidak harus ikut garisan perkauman.
“Dia kaum apa, latar belakang apa, tidak harus wujud dalam PKR. Saya memang kecewa (apabila mendengar isu ini),” kata beliau ketika ditemui pada sesi pengenalan calon barisannya kepada ahli-ahli AMK PKR Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Barisannya bertanding atas tema “Penerus Perjuangan Reformasi”. Kata Badrul Hisham, ada pihak yang mempersoalkan sebab beliau memilih calon timbalannya daripada kalangan orang Cina. Perkara itu turut diakui Chang dalam ucapannya.
Dalam PKR, keanggotaan 50 peratus adalah orang Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lain-lain.
Bagaimanapun Badrul Hisham menekankan, isu itu belum mencapai tahap yang serius tetapi sebagai sebuah parti pelbagai kaum, perkara seperti ini tidak seharusnya wujud.
“Saya masih menganggap soal membangkitkan Chang Lih Kang seorang calon Cina dan tidak harus undi bagi jawatan timbalan sebagai kes terpencil.
“Kami yakin soal-soal ini tidak akan menjejaskan peluang kami untuk menang kerana kami mengetengahkan visi dan misi kami kepada para ahli,” kata beliau lagi.
Kata beliau, pasukannya juga tidak membuat sebarang aduan mengenai isu berkenaan kepada jawatankuasa pemilihan pusat.
Ditanya mengenai pihak di belakang isu berkenaan, Badrul Hisham tidak mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak.
Persaingan jawatan ketua AMK menyaksikan pertarungan satu lawan satu.
Badrul Hisham, ketua PKR Rembau mencabar Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya. Gandingan Shamsul Iskandar bagi jawatan timbalan ketua AMK ialah Khairu Anuar Zainudin Jonah.
Sementara itu, Chang yang berucap pada majlis tersebut berkata, beliau berharap ahli-ahli PKR khususnya AMK akan mengetepikan pemberian sokongan mengikut garis kaum dan latar belakang.
“Saya tidak kisah kalau saya kalah kerana saya tidak kacak, saya tidak kisah kalau saya kalah jika atas alasan saya tidak pandai berucap, tetapi saya tidak mahu kalah kerana menganggap saya seorang Cina atau kerana latar belakang saya,” kata beliau yang juga bekas pemimpin pertubuhan bukan kerajaan Suaram dan Gerkaan Anti-ISA (GMI).
“Saya pernah terlibat dalam NGO Suaram, pernah bertindak sebagai setiausaha GMI... semasa dalam GMI, saya membantu mereka yang ditahan di bawah ISA, yang kebanyakan adalah orang Melayu-Islam termasuk anak Mursyidul Am PAS (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat),” kata beliau.
“Saya pernah ditahan kerana membantu orang Melayu yang rumah mereka dirobohkan di Ampang, itu komitmen saya tak kira agama dan kaum.
“Kami akan membantu semua orang ... sebab itu saya sedih dengan tindakan segelintir orang yang menganggap saya orang Cina... nilai saya atas kebolehan saya, keupayaan saya, bukan kerana warna kulit dan latar belakang,” kata beliau.
Selain Chang, barisan calon Badrul Hisham terdiri daripada  Dr Nicholas J Gantobon dari Sabah, Yunus Jamhari (Perak) dan Sivam Veeramuthu (Selangor) yang bertanding tiga kerusi naib ketua.
Proses pengundian pemilihan pusat PKR termasuk AMK dan Wanita akan bermula 29 Oktober ini, dijalankan secara berperingkat selama tiga minggu.
Ini kali pertama PKR memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung melibatkan undi setiap ahli.